Masa kami mula-mula beli tiket terus ke Jeju Island, kami tidak membuat persiapan langsung! Kebanyakkan orang yang pernah ke Jeju mengatakan tidak berbaloi hendak ke Jeju masa musim sejuk. Kami tetap beli sebab tiket murah, dan inilah masanya untuk kami cari sebab berbaloi atau tidak pergi travel ke Jeju masa musim sejuk. Persoalannya, berbaloi ke tidak? Hee

Pulau Jeju, Korea Selatan.

Perjalanan terus 6 jam daripada KLIA2 menaiki kapal terbang Air Asia – A330 ke Pulau Jeju yang terletak di sebelah selatan semenanjung Korea. Biasanya pelancong lebih gemar ke sini pada waktu bunga dan musim luruh kerana kawasan bekas volcano ini sangat cantik pada kedua musim ini. Makanya musim sejuk/winter pada akhir bulan Disember sehingga bulan Febuari adalah low season.

Kami tetap meneruskan misi memburu gambar dan pemandangan cantik sekitar Jeju, ternyata kami tidak salah! Best gila bila sampai Jeju ni. Banyak sangat tempat nak diteroka, tak sempat dalam perjalanan 4 hari kami yang pendek ni.

Jeju, Kami Sampai.

Kami sampai Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju pada jam 12.30 tengahari waktu tempatan. Waktu di Korea lebih kurang sejam awal daripada Malaysia. Kami disapa dengan angin sejuk kira-kira 7 darjah celcius sewaktu turun daripada kapal terbang. Cuaca sangat baik, matahari muncul akan tetapi kawasan Jeju ni kawasan yang sangat berangin.

Sejuk betul kena angin tu. Usai selesai urusan imigresen dan ambil bagasi, kami bergegas ke tempat sewa kereta yang kami telah tempah lebih awal. Kami tempah di Jeju Auto House Rent A car. Kami naik bas yang pihak syarikat sewa kereta sediakan untuk ke tempat mengambil kereta sewa. Baca sini untuk tahu cara buat permit memandu antarabangsa.

Selesai urusan ambil kereta comel Kia Morning (kat sini Kia Picanto) kami terus setkan GPS ke kawasan pantai terdekat. Oleh sebab sudah lepas waktu tengahari, kami jalan-jalan kawasan tepi pantai yang menuju ke apartmen sewa kami. Kami jalan-jalan dikawasan persekitaran Hallim Beach. Pada jam 4 petang suhu dah makin menurun, bila kami keluar kereta saja, angin sejuk menerpa muka. Masa ni dah kena pakai glove dan muffler supaya angin tak kena hidung sangat. Angin pantai tu sejukkk sangat..

Hentian pertama kami adalah apabila kami terlihat satu kawasan rumah api dari tepi jalan. Rupanya kawasan ini adalah tempat berkayak, mungkin pada musim panas adalah lah aktiviti ni kan? Kami berhenti dan melihat sekitar kawasan taman ini yang agak luas. Kawasan pantai di Jeju kesemuanya adalah berbatu hitam- pantai semulajadi akibat daripada aktiviti gunung berapi.

Kami teruskan perjalanan menurusi kawasan pantai. Ikut sahaja jalan pantai tu, boleh berhenti sesuka hati bila rasa pemandangan cantik. Hee, jenuh asyik nak berhenti je tau. Jangan risau, seronok memandu di Jeju walaupun pemanduan sebelah kanan. Pemandangan cantik sangat, leka dibuatnya.

Berikut adalah gambar cantik kawasan pantai perangin di Hallim Beach. Lumut pada batuan hitam, menaikkan warna pada pemandangan laut dan langit yang mula berwarna kuning emas. Berbaloi tak datang Jeju? Serius, berbaloi dengan pemandangan camni.. Boleh letak gps ni 33.3703984, 126.2067881 untuk kawasan ni. Mesti pergi tau.

 

Kawasan Jeju kita akan nampak banyak kincir angin yang besar-besar. Mereka menggunakan kuasa angin untuk menjana tenaga elektrik. Selain daripada menjadi sumber tenaga, kincir angin ni juga cantik untuk dijadikan model bergambar. Tengok gambar kat bawah ni, cantik kan?

Kami menghabiskan masa petang kami dengan hanya berjalan sekitar kawasan pantai. Kalau kita bawa kereta menusuri jalan tepi pantai,memang banyak kawasan park atau pantai. Boleh berhenti mana-mana tempat yang disediakan parking.

Berbaloi tak datang Jeju masa musim sejuk? Berbaloi untuk melihat pemandangan cantik, nak berehat dan menikmati kawasan pantai yang permai dan ambil gambar pemandangan yang cantik! Langit kat Jeju sangat biru dan boleh nampak awan seketul-seketul. Seronok tau bagi yang datang nak tangkap gambar. Nantikan sambungan itinerari travel di Jeju dalam post seterusnya ya..